Matikan, jangan guna Note 7

Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd meminta semua pemilik tempahan awal Galaxy Note 7 mematikan gajet mereka dengan segera.

Menurut kenyataan SME hari ini, pemilik Note 7 diberi pilihan sama ada memulangkan semula atau menukarnya kepada Samsung Galaxy S7 Edge, dengan syarat mereka memulangkan Galaxy Note 7 dalam keadaan baik.



"Semua pemilik tempahan awal akan dihubungi Khidmat Pelanggan Samsung, operator rangkaian mobil berkaitan atau rakan kongsi yang terbabit bermula 13 Oktober berhubung program pemulangan semula atau penukaran telefon.

“Mereka boleh menghubungi talian Samsung Malaysia di 1-800-88-7799 untuk maklumat lanjut,” kata kenyataan itu.

Samsung sebelum ini menarik balik kira-kira dua juta unit Note 7 berikutan kejadian telefon itu terbakar namun telefon gantian Note 7 dinaiktaraf juga terbakar.

Awal minggu ini, Samsung menggantung pengeluaran Galaxy Note 7 dan agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan Samsung sudah menggantung penjualan Note 7 peringkat global mulai semalam.

Samsung dalam kenyataan di laman webnya menyatakan ia menghentikan penjualan Note 7 di peringkat global dan bersetuju menggantikannya selepas berbincang dengan agensi kerajaan Korea berkaitan Teknologi dan Standard serta pihak berkuasa berkaitan.


EmoticonEmoticon